Monday, 10 December 2012

SAJAK


Sajak: Kain Buruk Ayah

Kain buruk ayah kalau tiada segala
buat menjadi payah jangan sekali-kali diserah
nanti hati ayah jadi parah

Ke danau buat basahan
kalau di kepala jadi lilitan
berteleku di surau menyembah Tuhan
dingin malam menyelimuti badan

Jangan diserah kain buruk ayah itu
biar rabak, putus benang beribu
biar renyuk, kedut berdebu
tiada sehari hati ayah jadi sebu

Kain buruk ayahku
kusam dan masam berbau
hari-hari dibasuh ibu
kasih mereka menjadi jitu

Kain buruk ayah kini tiada
sejak ayah emak pergi berdua
kurang sejengkal masih tinggal di beranda
kekal di situ menjadi tanda

Nukilan:
Muzamir
Hulu Kelang, Selangor

SUMBER: http://penyair.wordpress.com/

Saturday, 8 December 2012

DIALOG JENAKA

HANYA UNTUK MEREHATKAN MINDA.. MOGA TERHIBUR

Lawak 1:


Dalam sebuah kelas tabika, di sebuah kawasan perumahan…..

Cikgu: Apa khabar murid-murid? Apa khabar 1Malaysia?

Murid-murid: Baikkkkkk, cikgu.

Cikgu: Semua puasa hari ini? Angkat tangan siapa yang puasa!

Ali: Cikgu, saya cikgu….. saya tak pernah tinggal puasa cikgu!

Cikgu: Bagus, bagus, inilah baru murid cikgu. Walaupun masih kecil, tapi sanggup berlapar dan berdahaga. Murid-murid lain patut malu pada Ali.Semua murid berikan tepukan kuat kepada Ali. Ali cikgu nak tanya, awak niat puasa  macam mana?

Ali: (Dengan bangganya), SAHAJA AKU BERPUASA RAMADAN ESOK HARI DUA RAKAAT MENGKUT IMAM KERANA ALLAH TAALA!!!!!!!

Cikgu dan murid lain: Terdiam, tak kata apa-apa!!!!



Lawak 2:


Suatu pagi di dalam sebuah kelas 4 Slow, di sebuah sekolah rendah, di kawasan pedalaman. Cikgu sedang memberikan cadangan kepada murid2nya tentang hadiah sempena Hari Guru esok.

Cikgu: Saya tak kisah apa-apa jenis hadiah yang kamu nak berikan.

Murid: Tapi cikgu, hadiah macam mana?

Cikgu: Cikgu cadangkan begini, jika bapa kamu penanam jagung… jagunglah hadiahnya, jika nelayan, ikan pun boleh..

Murid2: Ohh…. begitu..

Keesokan harinya, penuh meja cikgu itu dengan pelbagai hadiah….. macam2 ada. Tersenyum lebar cikgu.
Hah, kenapa kamu berpeluh ni Mamat? Datang lewat pulak!

Mamat: Usung hadiah cikgu…. tu ada kat luar kelas.

Cikgu: Ya.. Allah, batu nesan Mat?????

Mamat: Ha….aaa (dengan bangga)

Cikgu: Ayah Mamat kerja apa?

Murid2: PENGGALI KUBUUUUR cikgu.

Cikgu: Patutlah.


Thursday, 6 December 2012

BAGAIMANA MEMBINA KEYAKINAN DIRI




         Sebagai manusia kita mudah hilang keyakinan diri, lebih-lebih lagi jika kita merasakan keadaan sekeliling dan persekitaran memberikan tekanan kepada kita, orang yang diharapkan memberi sokongan moral berbuat khianat atau menikam dari belakang, atau seringkali mendapat kritikan atau kutukan daripada rakan-rakan, dan sebagainya.
           Orang lain tidak boleh mengubah kita, kita sendiri yang perlu mengubah diri sendiri sekiranya kita ingin berubah kepada yang lebih baik. Jangan harapkan orang lain memotivasikan kita, kita sendiri yang harus memotivasikan diri sendiri, mesti timbul dari keinginan dalaman sendiri. Mungkin luaran hanya sebagai pencetus tetapi yang melaksanakan adalah kita sendiri, jika mahu betul-betul berubah.
           Keyakinan diri seseorang itu mudah diketahui apabila ia mula membuka mulut. Daripada percakapan, sikap, ketahanan minda dan emosi kita, orang boleh menilai sejauh mana keyakinan diri kita. 6 cara boleh diamalkan bagi melonjakkan keyakinan diri dan seterusnya menaikkan harga diri atau dengan kata lain maruah diri, iaitu:

1. Tingkatkan semangat dan harga diri. Ini boleh dimulakan dengan menilai diri (muhasabah diri) dari segi kebolehan, kelemahan, kekurangan, kekuatan secara jujur. Akui kekurangan dan kelemahan diri dan cari jalan untuk memperbaikinya. Mulakan dengan mendisiplinkan diri dan buang jauh-jauh pemikiran atau lintasan hati yang negatif. Percaya kepada kebolehan diri sendiri.

2. Atasi perasaan malu yang kena pada tempatnya. Malu melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan maksiat, tapi tak harus malu membuat perkara-perkara yang baik dan kebajikan. Tunjukkan semangat yang kuat, kental, optimis bukannya pesimis. Anggaplah manusia lain pun serupa macam kita, tiada manusia yang sempurna tanpa cacat celanya. Berani bercakap dan memberi pendapat dapat meingkatkan keyakinan diri.

3. Jangan takut mencuba sesuatu, buat saja apa yang difikirkan baik dan bermanfaat, jangan terlalu memikirkan atau terpengaruh dengan kata-kata orang yang pesimis di sekeliling kita. Jangan fikirkan kegagalan awal-awal lagi sebelum mencubanya kerana gelombang negatif ini akan mempengaruhi kita. Libatkan diri dengan aktivit-aktiviti positif yang boleh menambahkan kemahiran kerja berpasukan dan kepemimpinan. Percayakan diri sendiri mampu melakukan sesuatu yang dirancang dalam apa keadaan sekalipun.

4. Berpakaian seperti orang berjaya. Berpakaian yang sesuai mengikut tempat dan keadaan dapat secara langsung dan secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri untuk menuju kejayaan. Pakailah pakaian yang sesuai supaya tidak kelihatan janggal, yang boleh menimbulkan rasa malu dan rendah diri yang mana akhirnya akan mengurangkan rasa yakin dalam diri.

5. Tanamkan rasa kebergantungan kepada Allah SWT sepenuhnya, kita hanya perlukan pertolongan Allah SWT walaupun tiada manusia yang membantu kita. Dengan itu rasa keyakinan diri akan melonjak, sebab kita sentiasa berasa dalam pertolongan Allah SWT.

6. Sentiasa mencari dan menambah ilmu dan maklumat terkini supaya pengetahuan am, selain pengetahuan dalam bidang masing-masing, tidak ketinggalan zaman dan diketawakan orang. Dengan ilmu pengetahuan yang luas sudah tentu kita mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

Wednesday, 5 December 2012

PERKATAAN 'WALAUPUN'


Perkataan walaupun ialah sejenis kata hubung yang menyatakan perlawanan atau pertentangan. Perkataan yang setara penggunaannya ialah sungguhpun dan meskipun.

Ayat contoh:
• Walaupun badannya gemuk, dia boleh berlari dengan pantas.
• Walaupun sudah keletihan, dia terus bertanding sehingga selesai.
• Datuk tetap bersenam dan beriadah, walaupun usianya sudah lanjut.
• Dia tetap menduduki peperiksaan, walaupun badannya uzur.

Penggunaan walaupun tidak boleh diikuti dengan tetapi.

• Walaupun hidupnya susah tetapi dia tetap ceria. (salah)
• Walaupun hidupnya susah, dia tetap ceria. (betul)
• Walaupun sudah senja tetapi mereka terus bermain bola. (salah)
• Walaupun sudah senja, mereka terus bermain bola. (betul)



Walaupun Ahmad suka tidur, keputusan peperiksaannya tetap meningkat.


Tuesday, 4 December 2012

PENGGUNAAN 'KAMI' DAN 'KITA'


Kami dan Kita ialah kata ganti (diri pertama, jamak). Kedua-duanya tidak boleh digunakan untuk merujuk individu.
Contoh:
• Salmah (kita) sedang bermain boneka. (salah)
• Salmah (saya / dia) sedang bermain boneka. (betul)

Kami dan Kita biasanya merujuk kepada sekumpulan orang. Kami selalunya merujuk kepada orang yang bercakap dan mewakili temannya (tidak termasuk orang yang diajak bercakap).
Contoh:
• Salim berkata kepada gurunya, "Kami telah menonton filem dokumentasi itu." (tidak termasuk gurunya)
• Ahmad berkata kepada kakaknya, "Saya dan Azad kawan baik. Kami pergi ke sekolah bersama-sama.”

Kita pula merujuk kepada orang yang bercakap dan orang yang diajak bercakap.
Contoh:
• Kita patutlah menjaga kebersihan sekolah.
• Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mencintainya.


Monday, 3 December 2012

KOLEKSI TEKA TEKI



  1. Lima pasang stokin direndam di dalam laut merah. Setiap pasang stokin itu berwarna putih, hijau, biru, kuning dan hitam. Apa akan terjadi kepada semua stokin tersebut?
  2. Dalam banyak-banyak cecair, cecair apakah yang akan menjadi beku apabila dipanaskan?
  3. Dalam banyak-banyak kuih, kuih apakah yang orang makan tepinya sahaja? Tengahnya tidak dimakan.
  4. Apabila ditarik yang diatas gembira dan yang di bawah merana. Apakah ia?
  5. Bila gajah jadi ayam, lalu singa jadi ayam,dan kambing jadi ayam. maka ayam menjadi apa?
  6. Ada satu benda, kita berdiri dia baring, kita baring dia berdiri tapi bila kita jalan dia pun ikut sama. Nak tinggal tak boleh pulak tu.
  7. Apakah benda bertali yang apabila kita pegang, ia akan mati, tetapi bila dilepaskan ia akan hidup, namun akan mati juga bila dibiarkan lama-lama?
  8. Apabila suami dapat, maka isterinya pun dapat sama, tetapi bila si isteri yang dapat, si suami tak mendapat sama. Apakah perkara itu?
  9. Jika sebatang pokok dipotong akan menjadi semakin rendah, apakah bendanya yang semakin dipotong semakin menjadi tinggi?
  10. Batang apa berlubang-lubang, Tirus di atas di bawah Kembang, Terkadang tegak terkadang tumbang, celaka benar kalau ditebang.



JAWAPAN: 
  1. BASAH
  2. TELUR
  3. KUIH DONAT
  4. PENGAIL YANG DAPAT IKAN
  5. AYAM JADI BANYAK
  6. TAPAK KAKI SENDIRI
  7. GASING
  8. GELARAN DATO
  9. SELUAR PANJANG
  10. BATANG HIDUNG

kredit to: http://kondakondi.com/50-koleksi-teka-teki-untuk-anda/

PUISI


PUISI MELAYU

Banyak daripada puisi Melayu tergolong dalam genre tradisional yang muncul dalam zaman sebelum berkembangnya tradisi tulisan pencetakan. Puisi dalam Bahasa Melayu larut dalam jiwa masyarakat Melayu tidak hanya sebagai satu hasil kesenian, tetapi juga mengjangkau alam mistik, berperanan sebagai wadah pemeliharaan adat, pembinaan sahsiah, pengajaran agama, pengajaran ilmu pengasih, pertahanan, hiburan, dan kepercayaan.
Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar sejarah mula perkembangan puisi Melayu tradisional. Berdasarkan kajian oleh ramai sarjana, dapat dikatakan perkembangan puisi Melayu tradisional telah bermula secara bersama dan sezaman dengan perkembangan prosa Melayu tradisional. Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran banyak genre puisi tradisional dalam karya hikayat dan cerita-cerita rakyat.

Puisi Melayu termasuk dalam golongan karya kesusasteraan bentuk bukan cerita (non-naratif). Pengkelasan puisi Melayu boleh dibuat berdasarkan bentuk, isi/tema, dan fungsi. Berdasarkan kepada pengkelasan ini, jenis-jenis puisi Melayu tradisional terbahagi kepada dua belas iaitu pantun, syair, gurindam, nazam, seloka, teka teki, peribahasa berangkap, teromba, talibun (sesomba), prosa berirama (prosa lirik), dan dikir (zikir)

Puisi pada hakikatnya adalah satu pernyataan perasaan dan pandangan hidup seorang penyair yang memandang sesuatu peristiwa alam dengan ketajaman perasaannya. Perasaan yang tajam inilah yang menggetar rasa hatinya, yang menimbulkan semacam gerak dalam daya rasanya. Lalu ketajaman tanggapan ini berpadu dengan sikap hidupnya mengalir melalui bahasa, menjadilah ia sebuah puisi, satu pengucapan seorang penyair.(Abdul Samad bin Muhammad Said).

CONTOH PUISI 


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "

NUKILAN
Usman Awang



Wednesday, 21 November 2012

PANTUN


Kedudukan Pantun dalam Puisi Melayu Tradisi


  • Milik melayu asli.  Berbanding dengan syair, seloka dan gurindam, pantun adalah puis yang lahir daripada maysarakat melayu tradisi yang amat tinggi nilainya. 
  • Puisi Melayu yang tertua., iaitu yang pertama sekali lahir dalam masyarakat Melayu. 
  • Mempunyai kepelbagaian bentuk. Ada yang 2 kerat, 4 kerat, lapan kerat, berkait dan seterusnya. 
  • Popular dalam semua lapisan masyarakat. Pantun terkenal di kalangan orang tua, orang muda dan  kanak-kanak. 
  • Mampu membawa tema yang pelbagai seperti kasih sayang, nasihat, agama, adat, budi,cinta, cinta, dan sebagainya 
  • Mampu membawa makna yang tersirat secara halus dan berkesan. Ini sesuai dgn jiwa masyarakat melayu yang suka mendidik secara halus. 
  • Mudah dicipta secara spontan 
  • Mencerminkan pancaran nilai budaya Melayu


Ciri-ciri kelebihan pantun 


  • Wujud pembayang dan maksud dalam setiap rangkap.  Ciri ini tidak terdapat dalam puisi yang lain. 
  • Boleh berdiri sendiri kerana setiap rangkap pantun sudah membawa makna yang lengkap berbanding dengan syair yang memerlukan perkaitan dengan rangkap2 berikutnya. 
  • Rima tengah atau jedanya ditekan di dalam pantun, tetapi tidak demikian dalam puisi lain. 
  • Ada unsur persamaan dengan puisi lain terutama syair seperti dari segi rima akhirnya, jumlah perkataan dan sukukata.


Kepentingan pantun


  • Pantun dapat disulami dalam puisi melayuu yang lain bagi mempelbagaikan ungakapan. Contohnya dalam nyanyian rakyat. Gurindam. Bahasa berirama dll. 
  • Membantu mempertingkatkan daya estetika (keindahan) puisi-puisi lain. 
  • Menjadi pemanis kata dan pengindah bicara dalam ungkapan-ungkapan bahasa yang puitis. 
  • Melambangkan budaya tinggi dalam ciptaan sastera

Pantun merupakan puisi tradisi Melayu yang di dalamnya terserlah kehalusan budi dan ketajaman fikiran. 

Contoh Pantun 4 Kerat


Kemumu di tengah pekan          
    Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan   
   Bagai pohon tidak berbuah

Tumbuh melata si pokok tebu
   Pergi pasar membeli daging
Banyak harta tak ada ilmu   
   Bagai rumah tidak berdinding

Tulis surat di dalam gelap              
   Ayatnya banyak yang tidak kena
Jagalah diri jangan tersilap             
   Jikalau silap awak yang bencana
  
Hendak belayar ke Teluk Betong            
   Sambil mencuba labuhkan pukat
Bulat air kerana pembetung             
   Bulat manusia kerana muafakat   

 Pakai baju warna biru           
    Pergi ke sekolah pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
    Kerana guru pembekal ilmu

Lagu bernama serampang laut
    Ditiup angin dari Selatan    
Layar dikembang kemudi dipaut  
    Kalau tak laju binasa badan

Padi segemal kepuk di hulu   
   Sirih di hilir merekap junjungan
Kepalang duduk menuntut ilmu
   Pasir sebutir jadikan intan.

Budak-budak berkejar-kejar 
   Rasa gembira bermain di sana
Kalau kita rajin belajar            
  Tentu kita akan berjaya    

Jangan pergi mandi di lombong          
   Emak dan kakak sedang mencuci
Jangan suka bercakap bohong
   Semua kawan akan membenci

Buah cempedak bentuknya bujur
    Sangat disukai oleh semua
Jika kita bersikap jujur
    Hidup kita dipandang mulia

Jikalau tuan mengangkat peti   
   Tolong masukkan segala barang
Jikalau anak-anak bersatu hati            
   Kerja yang susah menjadi senang  

Asam kandis mari dihiris            
    Manis sekali rasa isinya    
Dilihat manis dipandang manis
    Lebih manis hati budinya  

Wednesday, 31 October 2012

JENIS-JENIS AYAT DALAM BAHASA MELAYU


Ayat Penyata.

Untuk menyatakan sesuatu atau memberi keterangan.

Ayat contoh:

1) Mereka berkumpul di padang sekolah.
2) Orang Inggeris itu fasih berbahasa Melayu
3) Bangunan sekolah sudah tua.
4) Pemuda itu membawa ibunya ke klinik.

Ayat perintah.

Ayat perintah bertugas untuk menyatakan sesuatu yang berupa perintah, larangan, suruhan, permintaan, ajakan, silaan, doa, dan harapan.

Ayat contoh:
1) Berdiri di atas kerusi itu.
2) Ikat tali kasut anda dengan betul.
3) Jangan pergi ke sungai yang dalam airnya.
4) Tolong angkat baju itu.
5) Mengucaplah banyak-banyak.
6) Sila jamu selera.
7) Syukurlah kamu sudah kembali.
8) Harap-harap hari tidak hujan.


Ayat Seruan.

Ayat seruan diucapkan untuk melahirkan perasaan seperti takut, marah, hairan, dan terkejut, sakit, hairan dan sebagainya.
Ayat seruan diakhiri dengan tanda seru ( ! )
Tanda seru biasanya terletak diakhir ayat.
Ayat seru dimulai oleh kata seru seperti Oh, Cis, Wah, Amboi dan sebagainya.

Ayat contoh:

1) Amboi, cantiknya baju kamu!
2) Aduh, sakitnya perut aku!
3) Oh, dia sudah pergi ke sekolah !


Ayat tanya

Digunakan untuk bertanya atau menyoal.

Ayat contoh:

1) Tetamu sudah tib
2) Buah itu sudah masak?
3) Mereka hendak menolong kita?
4) Sudah tibakah tetamu?
5) Sudah masakkah buah itu?
6) Hendak menolong kitakah mereka?


Ayat Majmuk.

Ayat Majmuk adalah ayat yang mengandungi dua atau lebih ayat - ayat tunggal disambungkan oleh perkataan Kata Hubung seperti dan, atau, kecuali, tetapi, sambil, seraya dan lain-lain.

Ayat contoh :
A) Razak mengambil sebuah buku cerita. ( Ayat Tunggal )
B) Razak membaca buku itu. ( Ayat Tunggal )
C) Razak mengambil sebuah buku cerita lalu membaca buku itu. ( Ayat Majmuk )

Monday, 22 October 2012

SINONIM & ANTONIM


SINONIM DAN ANTONIM


1. Perkataan – edar
    Sinonim – keliling
    Antonim – tetap

2. Perkataan – elit
    Sinonim – kenamaan
    Antonim –bawahan
                               
3. Perkataan – elok
    Sinonim – bagus
    Antonim - buruk

4. Perkataan – emak
    Sinonim – ibu
    Antonim –bapa

5. Perkataan – empuk
    Sinonim – lembut
    Antonim –keras

6. Perkataan – endah
    Sinonim – acuh
    Antonim –benci

7. Perkataan – enggan
    Sinonim – malas
    Antonim –setuju

8. Perkataan – engkau
    Sinonim – anda
    Antonim –aku

9. Perkataan – esa
    Sinonim – satu
    Antonim –banyak

10. Perkataan – esak
     Sinonim – sedu-sedan
     Antonim –ketawa

Saturday, 20 October 2012

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN


BAHASA MELAYU TAHUN 4


Mata pelajaran :   Bahasa Melayu
Kelas                :   Tahun 4
Tarikh               :  16 Mei 2011
Masa                :   60 minit
Bilangan Murid :  15 orang
Tema                :   Minggu Kokurikulum
Tajuk                 :   Pertunjukan Seni Mempertahankan Diri

Hasil Pembelajaran 

Fokus Utama (Kemahiran Menulis)
 8.3    Menulis perkataan dan ayat dengan tulisan berangkai yang kemas
 Aras 2(i)    Menulis ayat dengan tulisan berangkai yang kemas dan cantik

Fokus Sampingan (Kemahiran membaca, bertutur dan Mendengar)
 7.1     Membaca dan menerangkan maksud kandungan teks yang tersurat dan tersirat.
 Aras 1  Membuat andaian tentang sesuatu perkara yang tersirat berdasarkan maklumat yang tersurat
 2.2       Melaporkan sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa yang sesuai dan tepat.
 Aras 2 (i)Mengemukakan data yang diperoleh tentang sesuatu perkara.

Objektif pembelajaran: Pada akhir pelajaran murid-murid dapat:
1) Menulis lima ayat huraian dengan tulisan berangkai berdasarkan teks dengan betul.
2) Membaca petikan dengan sebutan dan intonasi yang betul dan menarik
3) Menyatakan lima maklumat penting berdasarkan pengumuman yang dibaca
Strategi Pengajaran     :  1.Koperatif – Kerja berkumpulan
                                        2.Direktif - Penerangan
 Kemahiran Bahasa :     Mendengar dan bertutur, membaca, menulis
 Sistem Bahasa       :     Ayat huraian, Kosa kata
 Pengisian Kurikulum  : Kajian Tempatan, Pendidikan Sivik Kewarganegaraan
 Kemahiran Bernilai Tambah(KBT)
                                   1. Kemahiran Berfikir:- Menjana idea, merumus, Membanding beza
                                   2 .Kecerdasan Pelbagai- Interpersonal, verbal linguistik, Interpersonal,
                                      Intrapersonal
 Nilai:                           Bekerjasama, berusaha, rajin, patuh
 Pengetahuan Sedia Ada :      Murid- murid sudah mengetahui cara menulis tulisan berangkai dan mengetahui cara menulis ayat huraian dengan betul.
 Bahan Bantu Mengajar :    Buku Teks Bahasa Melayu Tahun 4, Video, slaid, kad manila, kad
                                              ayat  .      

 Langkah

Isi Kandungan
Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran
Nota
Aktiviti Guru
Aktiviti Murid
Set induksi
(5 minit)

Aktiviti Kokurikulum
1. Guru bersoaljawab dengan murid tentang pelajaran yang lepas.
2. Guru meminta murid menyebut aktiviti-aktiviti kokurikulum yang terdapatdi sekolah.

Contoh : Kelab Olahraga, Silat,

1.Murid memberi idea berkaitan aktiviti kokurikulum.
2.Murid memberi dan menamakan aktiviti-aktiviti kokurikulum di sekolah
Strategi/Teknik:
Penerangan
Konstektual
BBM:Slaid, Tayangan video
Nilai: Tolenrasi
KBT:
Kecerdasan pelbagai:
1. Verbal linguistik
KBKK: Mengeluarkan idea
Langkah 1(15minit)
 Pertunjukan Seni Mempertahankan Diri –Buku Teks Bahasa Melayu Tahun 4 halaman 50
1.Guru mempamerkan gambar seni mempertahankan diri menggunakan slaid dan berbincang tentangnya.
2. Murid diminta membaca notis dalam buku teks secara senyap

3. Guru meminta beberapa murid ke depan untuk menghebahkan notis yang telah dibaca.

4. Guru menyuruh semua murid membaca secara kuat notis yang dihebahkan tadi
5. Guru memberi penerangan tentang isi notis yang dipelajari
1. Murid memerhati gambar Seni mempertahankan diri yang ditunjukkan oleh guru.

2. Murid membaca notis  secara senyap.

3. Murid tampil ke hadapan kelas menghebahkan maklumat dalam notis yang dibaca.

4. Murid –murid membaca semula notis yang dimaksudkan,

5. Murid mendengar penerangan guru dengan teliti.

Strategi/Teknik:
Penerangan secara Kelas, Koperatif

BBM: Gambar(Powerpoint)
Buku Teks


Nilai: Bekerjasama

KBT:
Belajar cara Belajar

Kecerdasan pelbagai:
1. Verbal linguistik
KBKK: Mengeluarkan idea

Nilai: Berani

Langkah 2
(20 minit)

Tulisan Berangkai

Pembentangan Kerja Kumpulan


1. Guru meminta murid menulis notis yang dibaca dengan tulisan berangkai secara berkumpulan.

2. Guru mengedarkan kad manila kepada murid .
3. Guru meminta murid membentangkan hasil penulisan di hadapan kelas.
4. Guru meminta murid menyalin pengumuman tadi dengan tulisan berangkai ke dalam buku masing-masing.


1.Murid menulis notis yang dibaca dengan tulisan berangkai secara berkumpulan.

2. Murid menulis jawapan pada kad manila yang diberi guru.

3. Murid membentangkan hasil penulisan di hadapan kelas.

4. Murid menyalin pengumuman tadi dengan tulisan berangkai ke dalam buku masing-masing.


Strategi/Teknik:
Penerangan secara Kelas, Koperatif

BBM: kad manila
Buku Teks,

Nilai: Bekerjasama

KBT:
Belajar cara Belajar

Kecerdasan pelbagai:

1. Verbal linguistik

KBKK: Mengeluarkan idea

Nilai: Berani


Langkah 3
(15 minit)

Membina ayat dengan tulisan berangkai

1.Guru menerangkan dan memberikan contoh ayat berangkai kepada murid.



2. Guru meminta murid membina ayat huraian berdasarkan notis dengan tulisan berangkai.


3. Guru meminta beberapa orang murid membacakan hasil penulisan mereka kepada rakan-rakan yang lain.


1.Murid mendengar penenerangan guru.


2. Murid membina lima ayat huraian berdasarkan notis dengan tulisan berangkai ke dalam buku tulis masing-masing.

3. Beberapa orang murid membacakan hasil penulisan mereka kepada murid lain.


Strategi/Teknik:
Penerangan secara Kelas,

BBM: kad manila
Buku Teks,


Nilai: Bekerjasama

KBT:
Belajar cara Belajar

Kecerdasan pelbagai:

1. Verbal linguistic
2. Intrapersonal

KBKK: menjana idea
Nilai: Rajin

Penutup
(5minit)

Teguran dan Nilai murni
1. Guru merumus isi pelajaran dengan memberi tegasan serta teguran tentang tulisan yang kemas dan kesalahan ejaan.

2. Guru memuji hasil kerja murid yang baik dan berkualiti,

3.Guru bersoaljawab tentang kebaikan menyertai kegiatan kokurikulum dan kepentingan menghargai masa dan menggunakan masa lapang dengan bijak.
1. Murid mendengar dengan teliti teguran dan tegasan murid tentang tulisan dan ejaan.

2.Murid menerima pujian dengan ikhlas dan berusaha membaiki kelemahan.

3. Murid menyatakan kebaikan menyertai kokurikulum dan menyedari cara menggunakan masa lapang dengan berfaedah
.
Strategi/Teknik:
Penerangan secara Kelas,

BBM: Buku Teks,


Nilai: rajin, patuh

KBT:
Belajar cara Belajar

Kecerdasan pelbagai:

1. Verbal linguistic
2. Intrapersonal

KBKK: menjana idea

  

Sebelum P & P

Sebelum mengajar, rancangan saya selepas mengajar kefahaman dan teks pada hari pertama iaitu Isnin, saya akan mengajar kemahiran menulis dan diselitkan dengan pengajaran tatabahasa. Bagi saya, (saya rasa guru bahasa yang lain pun buat perkara yang sama), tatabahasa memang sepatutnya diajar setiap hari walaupun cuma memasukkan satu tajuk kecil kemahiran berbahasa. Kemahiran menulis tulisan berangkai jarang diajar kerana saya lebih fokus kepada kemahiran memperluaskan binaan ayat. Tapi kali ini saya rasa, pelajar saya akan berminat mempelajari teknik menulis tulisan berangkai. Kemahiran menulis tulisan berangkai kali ini adalah kesinambungan daripada kemahiran yang pernah dipelajari semasa di kelas-kelas sebelum ini.

Semasa P & P

Bahan bantu mengajar saya amat konvensional. Saya lebih banyak menggunakan papan kapur. Setiap kali menunjukkan contoh dan menegur kesilapan murid, saya banyak bergantung kepada papan tulis. Ada juga contoh yang sudah dipamirkan dengan menggunakan kertas sebak. Pelajar lupa bagaimana menulis tulisan berangkai dengan betul. Para pelajar lupa  teknik menyambung setiap huruf dengan betul. 

Kelemahan P & P

Kelemahan saya amat ketara kerana saya lebih banyak menyuruh murid membaca walaupun kemahiran fokus saya ialah menulis. Dari aspek penyediaan soalan latihan, saya hanya meminta murid membina ayat dalam bentuk tulisan berangkai sahaja seolah-olah saya tidak mengembangkan kemahiran KBKK murid-murid dan tidak menyediakan latihan susulan yang lain. Aktiviti berkumpulan yang saya sediakan kurang mencabar kerana saya hanya meminta murid menyalin semula. Walaupun aktiviti berkumpulan dijalankan, namun hanya segelintir sahaja yang aktif melibatkan diri.

Kekuatan P & P

Secara keseluruhannya, pengajaran saya dapat diikuti oleh murid kerana saya menggunakan arahan yang mudah. Murid faham dan dapat melakukan setiap aktiviti dalam langkah-langkah pengajaran yang disediakan. Murid diterangkan tentang petikan notis jadi murid akan dapat membezakan petikan teks bacaan biasa dengan petikan notis.
Tindakan susulan/Penambahbaikan

Untuk penambahbaikan saya akan cuba mempelbagaikan latihan terutama yang berfokus dengan kosa kata iaitu murid akan mengisi tempat kosong dan menyalin ayat-ayat soalan menggunakan tulisan berangkai (agar tidak lari daripada kemahiran yang hendak diajar)
Contoh Latihan:

1. Salin ayat-ayat berikut dalam bentuk tulisan berangkai dan isikan tempat kosong dengan
    perkataan yang sesuai.
2. Bina sebuah karangan dengan menggunakan tulisan sepanjang 80 patah perkataan.
3. Bina empat rangkap pantun  4 kerat dengan menggunakan tulisan berangkai.

Dari aspek pedagogi, saya akan merancang pengajaran dan latihan yang berkesan kepada murid dengan berpandukan aras kecerdasan murid di dalam kelas.

Dalam pelaksanaan aktiviti berkumpulan, murid-murid akan digalakkan mencuba dan bersikap berani agar ada sikap jaya diri disemai.


SUMBER: http://hasmah042790.blogspot.com/p/bahasa-melayu-tahun-4.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...