Thursday 6 December 2012

BAGAIMANA MEMBINA KEYAKINAN DIRI




         Sebagai manusia kita mudah hilang keyakinan diri, lebih-lebih lagi jika kita merasakan keadaan sekeliling dan persekitaran memberikan tekanan kepada kita, orang yang diharapkan memberi sokongan moral berbuat khianat atau menikam dari belakang, atau seringkali mendapat kritikan atau kutukan daripada rakan-rakan, dan sebagainya.
           Orang lain tidak boleh mengubah kita, kita sendiri yang perlu mengubah diri sendiri sekiranya kita ingin berubah kepada yang lebih baik. Jangan harapkan orang lain memotivasikan kita, kita sendiri yang harus memotivasikan diri sendiri, mesti timbul dari keinginan dalaman sendiri. Mungkin luaran hanya sebagai pencetus tetapi yang melaksanakan adalah kita sendiri, jika mahu betul-betul berubah.
           Keyakinan diri seseorang itu mudah diketahui apabila ia mula membuka mulut. Daripada percakapan, sikap, ketahanan minda dan emosi kita, orang boleh menilai sejauh mana keyakinan diri kita. 6 cara boleh diamalkan bagi melonjakkan keyakinan diri dan seterusnya menaikkan harga diri atau dengan kata lain maruah diri, iaitu:

1. Tingkatkan semangat dan harga diri. Ini boleh dimulakan dengan menilai diri (muhasabah diri) dari segi kebolehan, kelemahan, kekurangan, kekuatan secara jujur. Akui kekurangan dan kelemahan diri dan cari jalan untuk memperbaikinya. Mulakan dengan mendisiplinkan diri dan buang jauh-jauh pemikiran atau lintasan hati yang negatif. Percaya kepada kebolehan diri sendiri.

2. Atasi perasaan malu yang kena pada tempatnya. Malu melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan maksiat, tapi tak harus malu membuat perkara-perkara yang baik dan kebajikan. Tunjukkan semangat yang kuat, kental, optimis bukannya pesimis. Anggaplah manusia lain pun serupa macam kita, tiada manusia yang sempurna tanpa cacat celanya. Berani bercakap dan memberi pendapat dapat meingkatkan keyakinan diri.

3. Jangan takut mencuba sesuatu, buat saja apa yang difikirkan baik dan bermanfaat, jangan terlalu memikirkan atau terpengaruh dengan kata-kata orang yang pesimis di sekeliling kita. Jangan fikirkan kegagalan awal-awal lagi sebelum mencubanya kerana gelombang negatif ini akan mempengaruhi kita. Libatkan diri dengan aktivit-aktiviti positif yang boleh menambahkan kemahiran kerja berpasukan dan kepemimpinan. Percayakan diri sendiri mampu melakukan sesuatu yang dirancang dalam apa keadaan sekalipun.

4. Berpakaian seperti orang berjaya. Berpakaian yang sesuai mengikut tempat dan keadaan dapat secara langsung dan secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri untuk menuju kejayaan. Pakailah pakaian yang sesuai supaya tidak kelihatan janggal, yang boleh menimbulkan rasa malu dan rendah diri yang mana akhirnya akan mengurangkan rasa yakin dalam diri.

5. Tanamkan rasa kebergantungan kepada Allah SWT sepenuhnya, kita hanya perlukan pertolongan Allah SWT walaupun tiada manusia yang membantu kita. Dengan itu rasa keyakinan diri akan melonjak, sebab kita sentiasa berasa dalam pertolongan Allah SWT.

6. Sentiasa mencari dan menambah ilmu dan maklumat terkini supaya pengetahuan am, selain pengetahuan dalam bidang masing-masing, tidak ketinggalan zaman dan diketawakan orang. Dengan ilmu pengetahuan yang luas sudah tentu kita mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

5 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...